Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.



Assalamualaikum yang saya hormati sang pembaca sekalian. Alhamdulillah syukur kepada Allah S.W.T, pepatah melayu ada berkata "di mana ada kemahuan di situ ada jalan". Akhirnya dapat juga aku menyelesaikan 8 step untuk mendapatkan lesen P yang boleh membenarkan aku memandu di jalan raya secara sah WALAUPUN hanya bergelar sebagai pemandu percubaan. Dimulai dengan kursus 5 jam (KPP), Ujian Bahagian Pertama Berkomputer (LULUS-43/50), Kursus Teori 3 jam, Amali 3 Jam, mendapatkan Lesen L, kemudian belajar selama 4 jam, QTI (Pra-Test/Trial), sambung lagi belajar 4 jam. Dan hari yang ditunggu-tunggu, 18 Februari 2009. Bermulalah perjuangan sebagai seorang pemandu di jalan raya. Bermula pada pukul 2.00 petang, aku hanya menunggu giliran 55 untuk dipanggil. Ya, 55 adalah nombor giliranku. Setelah aku penat menunggu, 55 disebut untuk membuat ujian bahagian II dahulu. Aku memulakan perjuangan aku dengan ujian memandu bukit. Sebenarnya ini adalah ujian yang paling sukar bagi aku sebagai pemandu. Hal ini demikian kerana aku tidak beberapa pandai untuk bajet berhenti di garisan kuning. Walaupun telah diberitahu tiang di tepi mestilah selari dengan cermin, tetapi rasa kurang yakin membuatkan aku terlalu sukar untuk memberhentikan kereta tersebut dengan tepat. Selalunya aku berlatih memang sangat sukar untuk dapat tepat. Kadang kala sahaja tepat. Tanpa rasa ragu-ragu, aku terus memandu di bukit tersebut. Alhamdulillah, tepat!!! Kemudian aku teruskan dengan ujian parking, dan ujian terakhir untuk bahagian II, 3 penjuru. Alhamdulillah, semuanya lulus.

Kini, menunggu giliran untuk bahagian III, memandu di jalan raya. Ini sangat ringan bagiku berbanding dengan bukit tadi. Akan tetapi, gemuruh dalam jiwa tetap ada. Hal ini memang biasa bagi kebanyakan manusia bukan? Jadi, pegawai JPJ yang menguji aku adalah seorang perempuan. Cantik? Lawa? aku tidak kisah, yang penting tolong beri aku LULUS! Aku masuk kereta dengan salam, Assalamualaikum! Dan salam pon dijawab dengan mesra. Jadi aku mulakan dengan 5 perkara; tempat duduk bagi ke hadapan sikit, cermin tepi kiri, belakang, tepi kanan, memakai tali pinggang keledar, pastikan gear bebas, pastikan lampu signal menyala. Itu sahaja! Kemudian aku pon mulalah memandu. Tampak mudah, ya sememangnya mudah! Cuma pada waktu itu yang mencabar adalah keadaan cuaca yang tidak menentu. Ketika itu hujan sangat lebat! oh, tidak! Adakah aku boleh memandu dengan baik? Kesian pejalan kaki ye, terpaksa mandi dek kerana percikan air. Pegawai itu tegur, "hey, taulah kamu tengah memandu, ingatlah orang tengah jalan kaki tu, kamu bawak belah kanan, tapi bawak laju sikit, nanti orang kat tepi terkena lagi percikan air". Mintak maaflah yang sudah jadi mangsa tadi. Seyes! Tidak sengaja. Itu sahaja teguran dari pegawai yang aku terima. Alhamdulillah, markah yang aku dapat ialah 18/20. Walaupun tidak penuh, asalkan LULUS aku sudah begitu syukur pada-Mu ya ALLAH!

Nantikan, pengalaman mengajar yang akan aku ceritakan. Sekadar perkongsian cerita bersama. Mungkin tidak banyak maklumat yang diperolehi. Akan tetapi kata orang, pengalaman menjadi iktibar dan pengajaran. Semoga apa-apa yang aku ceritakan, bakal menjadi iktibar dan pedoman untuk sesiapa yang membacanya.

ALHAMDULILLAH!!